KKM ingatkan rakyat agar tak terpengaruh dengan ‘voice note’ palsu
Orang ramai digesa tidak mudah terpedaya dengan berita palsu ditularkan pihak tidak bertanggungjawab di media sosial.
Melalui satu kenyataan di laman ‘X’ pada Ahad, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan beberapa dakwaan yang tular melalui rakaman nota suara yang antaranya mendakwa katil di wad hospital penuh dan tidak mencukupi untuk menampung pesakit.
KKM turut menafikan dakwaan dari rakaman itu kononnya sedang berlaku penularan wabak baharu dari Afrika.
“Terdapat satu rakaman suara tular kebelakangan ini mengulas kadar kematian semakin meningkat dalam kes ‘brought in dead’ (BID).
“Audio tersebut adalah sama seperti mana pernah ditularkan pada 2021 dan kini diedarkan secara berleluasa menerusi aplikasi berkenaan untuk menimbulkan keresahan orang awam,” kata kenyataan tersebut.
BACA LAGI: KKM perluas Program ubat PrEP mulai tahun hadapan
Terdahulu, rakaman berdurasi 3 minit 12 saat yang tular itu turut mendakwa kononnnya akan berlaku kematian sekitar 40 hingga 60 orang sehari sekiranya orang ramai enggan mengenakan pelitup muka.
Susulan itu KKM memohon orang ramai tidak menyebarkan berita palsu itu yang boleh menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat.
KKM turut dinasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada terhadap penularan wabak Covid-19 yang masih kekal.
“Rakyat perlu mengambil langkah pencegahan kesihatan awam dengan sentiasa mengamalkan 3W (cuci, pakai, amaran) dan mengelakkan 3S (kawasan sesak, kawasan sempit, bersembang jarak dekat),” kata kenyataan itu.