KPKT sasar tubuh pasukan Bomba Komuniti di semua residensi PR1MA seluruh negara
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan untuk menubuhkan pasukan Bomba Komuniti PR1MA di seluruh negara.
Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, penubuhan Bomba Komuniti di kesemua 56 residensi PR1MA di seluruh negara adalah salah satu usaha dalam meningkatkan pencegahan kebakaran di residensi berkenaan.
Selain itu, ia juga bagi mempersiapkan penduduk melalui latihan asas kebombaan untuk berdepan situasi kecemasan.
“Penubuhan Bomba Komuniti PR1MA ini adalah hasil kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Tahun ini negara mengalami kerugian sebanyak RM1.3 billion akibat kebakaran, jadi pencegahan kebakaran sangat penting dan semua residensi PR1MA perlu mewujudkan Bomba Komuniti, supaya dapat memastikan aspek keselamatan di kediaman mereka,” katanya.
BACA LAGI: Skim ‘Rent to Own’ diperluas, bolehkan lebih ramai miliki rumah
Kor Ming sebelumnya hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Bomba Komuniti PR1MA Meru di Residensi Meru di Bandar Meru Raya di Ipoh.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee; Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad.
Beliau sementara itu berharap, dengan usaha itu ia dapat memastikan semua residensi PR1MA ini berada dalam keadaan selamat, selesa dan sejahtera.