Umum

MOF ingatkan orang ramai waspada tawaran tebus kredit eMadani melalui media sosial

Kementerian Kewangan (MOF) menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan tawaran perkhidmatan penebusan tunai (cash-out) atau pemindahan ‘peer-to-peer’ kredit eMadani oleh pihak tidak bertanggungjawab di platform media sosial.

MOF dalam kenyataan berkata, ia bagi mengelakkan penerima manfaat eMadani daripada menjadi mangsa penipuan ‘scam’ serta kehilangan kredit yang diterima mereka.

“MOF tidak akan bertanggungjawab jika terdapat kehilangan kredit akibat pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai.

“Dalam pada itu, kerajaan akan mengambil langkah tegas termasuk menyekat akaun yang terbabit dan melucutkan hak kredit penerima eMadani jika terdapat laporan bagi mana-mana kes yang membabitkan pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

MOF berkata, program eMadani diluncur bertujuan menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai.

“Oleh itu, kredit eMadani tidak boleh digunakan antaranya bagi pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai.

“Ia hanya boleh digunakan untuk pembelian secara fizikal melalui e-dompet yang terbabit iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet atau QR DuitNow di 1.8 juta peruncit atau perniagaan di seluruh negara.

“Pendaftaran program eMadani dibuka mulai hari ini sehingga 20 Februari 2024 dan akan memanfaatkan 10 juta rakyat dewasa yang layak, meliputi golongan B40 dan M40,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program eMadani dengan melayari https://manfaat.mof.gov.my/individu/eMADANI.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button