Negeri

Pahang perketat urusan tanah rizab Melayu

Kerajaan Pahang memperkukuh lagi usaha bagi menjaga kepentingan dan pegangan tanah rizab Melayu di negeri itu agar terus terpelihara.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan setakat ini jumlah keluasan tanah rizab Melayu yang diwartakan di seluruh Pahang adalah berkeluasan 397,619.05 hektar .

Bagi mengekalkan keluasan kawasan rizab itu, pihaknya bertindak memperketatkan proses bagi pajakan, gadaian, pindah milik, dan pelupusan tanah rizab Melayu di negeri itu.

“Bagi memastikan keluasan kawasan tersebut dikekalkan, sebarang pembatalan ke atas rizab Melayu perlulah mendapat kelulusan pihak berkuasa negeri dan penggantian kawasan baru akan dilaksanakan serentak.

“Selain daripada itu, bagi menambah jumlah keluasan tanah rizab Melayu, semua Projek Skim Tanah Rakyat (STR) turut diwartakan sebagai kawasan rizab Melayu,” katanya.

Wan Rosdy berkata begitu pada Seminar Memperkasa Ekonomi Bumiputera Pahang 2023 di Dewan Utama Majlis Bandaraya Kuantan pada Ahad.

BACA LAGI: Pahang terima RM14 juta insentif EFT untuk program pemuliharaan hutan

Sementara itu, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan negeri turut berusaha meningkatkan pendapatan dan ekonomi golongan Bumiputera adalah melalui pelaksanaan STR dengan projek ekonomi yang dijalankan berasaskan pertanian.

Menerusi pelaksanaan STR jelasnya, kerajaan negeri juga dapat memberi peluang kepada rakyat terutama Bumiputera yang masih belum mempunyai tanah untuk memiliki aset dan sekali gus dapat dibangunkan secara ekonomik.

Related Articles

Back to top button