Semasa

Fahmi beri bayangan kerajaan bakal umum berita gembira untuk penjawat awam dan pesara

Kerajaan dijangka mengumumkan beberapa berita gembira kepada penjawat awam dan pesara pada tahun depan, yang antaranya berkaitan kenaikan gaji.

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil dipetik laporan media berkata, beberapa keputusan telah dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan ia dijangka akan direalisasikan secepat mungkin.

Bagaimanapun Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan tidak memperincikan lanjut mengenai perkara tersebut dan menyerahkan kepada Perdana Menteri atau Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk membuat pengumuman.

“Memang sebelum ini ada beberapa keputusan sudah diambil. Saya serahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali atau Perdana Menteri sendiri untuk mengumumkannya nanti.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah sebut sebelum ini, kita ada semak (kenaikan gajii) dan insya-Allah menjelang tahun 2024, gaji penjawat awam akan naik,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur pada Isnin.

Fahmi sebelumnya merasmikan Forum Alumni Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di Bukit Kiara.

Sebelum ini, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan akan menaikkan gaji kira-kira 1.6 juta penjawat awam dalam amaun kecil buat sementara waktu melalui Belanjawan 2024 sebelum kenaikan berkala bagi setiap 10 tahun.

Menyentuh mengenai kenaikan gaji pekerja sektor swasta, kerajaan tegasnya telah meluluskan kertas putih cadangan Dasar Gaji Progresif sebagai sebahagian usaha meningkatkan pendapatan pekerja di sektor swasta.

BACA LAGI: Kerajaan peruntukkan RM30 juta, mulakan projek rintis Dasar Gaji Progresif mulai Jun depan

Kenaikan gaji sektor awam dan swasta itu jelasnya penting memandangkan tahun hadapan adalah tempoh penting di mana ekonomi mula rancak dengan pelbagai pelaburan diperoleh pada tahun ini.

“Jadi, insya-Allah bermula 2024 pelaksanaan gaji progresif itu kita harap akan dapat menampakkan peningkatan pendapatan bagi pekerja di sektor swasta,” katanya.

Related Articles

Back to top button