Nasional

Mengapa perlu IDN walaupun sudah miliki IC? – Rafizi

Pelaksanaan Identiti Digital Nasional (IDN) di negara ini selaras dengan usaha kerajaan agar sebahagian besar khidmat dan urusan kerajaan didigitalkan, kata Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli.

Beliau berkata, IDN merupakan satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital bagi setiap warganegara tanpa perlu lagi membuka akaun bagi setiap portal kerajaan.

Jelas beliau lagi, pelaksanaan IDN akan menjadikan sistem-sitem kerajaan menjadi bersepadu dan berhubung di antara satu sama lain.

“Setiap kali kita mahu menggunakan khidmat kerajaan, kita perlu mengisi maklumat yang sama berulang-ulang kali dan kerajaan pula ada pelbagai pangkalan data bagi sistem yang berlainan, sedangkan maklumat pengenalan diri itu sama.

“Antara usaha terkini ialah memperkenalkan ‘govtech’ (khidmat awam berteknologi tinggi) secara berperingkat dalam khidmat awam.

“Seperti mana kita biasa menggunakan aplikasi digital untuk banyak urusan harian, hasratnya berurusan dengan kerajaan pun akan menjadi mudah seperti menggunakan aplikasi digital lain,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, (Pangkalan Data Utama) PADU yang akan diselenggara oleh Jabatan Perangkaan (DOSM) adalah bagi membantu kerajaan menyasarkan subsidi dan bantuan dengan lebih berkesan.

Tambah Rafizi, setiap aplikasi tidak lagi perlu membangunkan pangkalan data yang bertindih dan menggunakan API (application programming interface) untuk berhubung dengan PADU.

“Maksudnya, kita tidak perlu mengisi pelbagai maklumat berkali-kali untuk berurusan dengan kerajaan.

“Langkah seterusnya ialah IDN yang membolehkan kemudahan single sign on (SSO). Dengan satu ‘log in’, seorang pengguna boleh mengakses semua kemudahan dan aplikasi kerajaan sekaligus,” katanya.

Katanya, satu kertas kerja yang menggariskan konsep dan pelaksanaan ‘govtech’ secara berfasa akan dibentangkan di Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) minggu depan.

Beliau turut berharap pada tahun 2024 akan ada penambah baikan ketara kepuasan pengguna apabila menggunakan aplikasi urusan kerajaan yang lebih fokus kepada UI/UX/CX.

Baca juga:

Related Articles

Back to top button