Nasional

Program advokasi cegah peningkatan jumlah mangsa gangguan seksual terhadap lelaki

Aduan berkaitan mangsa gangguan seksual melibatkan golongan lelaki yang diterima menerusi pusat sokongan sosial setempat (PSSS) semakin meningkat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata kementeriannya menerima 1,486 kes aduan berkaitan gangguan seksual menerusi PSSS sepanjang tempoh 14 siri program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual diadakan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 411 kes (27.7 peratus) melibatkan mangsa lelaki,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Pada 29 Oktober lepas, Aiman Athirah berkata, PSSS menerima 1,213 laporan daripada mangsa gangguan seksual sepanjang 12 siri program jerayawara berkenaan sejak dilancarkan pada Mei lalu dengan 351 orang (28.9 peratus) golongan lelaki.

Dalam pada itu, menjawab soalan Senator Husain Awang mengenai sejauh mana keberkesanan program jerayawara mampu mengelakkan gangguan seksual di rumah dan tempat kerja, Aiman Athirah berkata berdasarkan maklum balas 97.6 peratus peserta program itu menunjukkan peningkatan terhadap tahap kesedaran dan pemahaman.

“Bagi memastikan gangguan seksual difahami dan meningkatkan kesedaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melaksanakan Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual di 14 negeri melibatkan 19,423 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Ahli Parlimen Sepang itu berkata, pelbagai program advokasi diadakan bersama pihak swasta dan badan bukan kerajaan bagi mencegah dan meningkatkan kesedaran gangguan seksual di premis masing-masing.

“Sebanyak 54 program advokasi dilaksanakan dengan pelbagai pihak termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) melibatkan 9,354 peserta.

“Selain itu, promosi serta hebahan juga diperluas melalui media sosial dan media massa melibatkan seramai 3.5 juta pendengar, penonton dan pembaca,” katanya. – Bernama

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button