Semasa

Jemaah menteri perlu diberi peluang tingkat prestasi – PM Anwar

Tidak adil untuk Jemaah Menteri dinilai hanya dalam waktu setahun kerana tempoh itu dilihat terlalu awal, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap dalam program Wawancara Khas Setahun bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri malam tadi beliau bagaimanapun menjelaskan, penyesuaian Kabinet boleh dilakukan sekiranya prestasi menteri dilihat meleset atau wujudnya keadaan lain yang menuntut

“Rombakan itu perlu, sekiranya prestasi menteri meleset ataupun keadaan lain yang menuntut. Umpamanya kita ini terbentuk dengan koalisi (gabungan). Jadi, rundingan perlu diadakan. Penyertaan harus setimpal dengan kekuatan parti masing-masing.

“Semua itu mesti ambil dikira. Saya kira tidak lama lagi. Saya diberitahu oleh seorang anak kecil yang memberi nasihat di depan masjid, Akmal, tak salah saya, dia kata sebelum akhir tahun. Jadi, saya setuju.

“Tetapi saya tidak fikir setelah setahun kita membuat penilaian yang adil. Orang perintah 10 tahun, tiga tahun, namun setahun terlalu awal.

“Jadi, menteri perlu diberi peluang meningkatkan prestasi termasuk perdana menteri dan kalau ada sedikit penyesuaian berdasarkan pengalaman setahun, kita akan lakukan,” katanya.

BACA LAGI: Kerajaan peruntukkan RM30 juta, mulakan projek rintis Dasar Gaji Progresif mulai Jun depan

Mengulas lanjut, beliau berkata, Jemaah Menteri perlu berusaha sedaya upaya untuk memberi khidmat terbaik kepada semua lapisan masyarakat di negara ini termasuk tidak hanya memberi tumpuan kepada aspek pertumbuhan ekonomi semata-mata.

Tumpuan juga jelasnya perlu diberi kepada aspek tata kelola dan pentadbiran bersih, selain jaminan bagi mengelak daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa.

“Ini kalau dapat dibersihkan, kita akan dapat melaksanakan beberapa kerangka dasar seperti Ekonomi Madani, peralihan tenaga atau transformasi digital dalam negara ini yang perlu melonjak cepat dan pantas dalam menggunakan digital,” jelas Ahli Parlimen Tambun itu.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati Jemaah Menteri agar tidak berasa selesa dengan prestasi dicapai Kerajaan Perpaduan selepas setahun menerajui pentadbiran negara.

Kabinet jelasnya perlu sentiasa mengutamakan keselesaan yang akan dinikmati rakyat, sekali gus menjadi ukuran sebenar pencapaian Kerajaan Perpaduan.

“Jangan kita termakan dengan penyakit keselesaan. Kalau tanya saya, kita buat sedaya upaya tetapi jangan (rasa) ini sudah terlalu baik,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button