Kelonggaran diberikan untuk pelancong isi MDAC hingga 31 Disember ini – Menteri KDN
Pelancong dan pelawat asing ke negara ini diberi kelonggaran untuk mengisi Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC) sehingga 31 Disember ini.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata kelonggaran itu diberikan meskipun mereka sepatutnya mengisi MDAC tersebut dua atau tiga hari sebelum tiba ke Malaysia ekoran dasar itu masih baharu dilaksanakan di negara ini.
“Sebab maklumat dalam digital arrival kad (kad ketibaan digital) ini memberi kita maklumat penting seumpama keberadaan mereka (pelancong). Mereka berada di mana, alamatnya di mana dan sebagainya.
“Ini adalah langkah penting untuk kita mengetahui tentang keberadaan sepanjang mereka berada di sini, tapi pada masa yang sama penting untuk kita juga,” katanya selepas mengadakan tinjauan bagi melihat proses Pelan Liberalisasi Visa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa.
Beliau sementara itu menegaskan, selepas 1 Januari depan, pelancong diwajibkan untuk mengisi MDAC seperti ditetapkan.
Mengulas lanjut Saifuddin berkata, penggunaan sistem baharu MDAC bertujuan untuk melonjakkan sektor pelancongan supaya tidak dirumitkan melalui proses visa.
Perkara itu jelasnya sudah lama diamalkan di kebanyakan negara termasuk Singapura.
BACA LAGI: KDN perkenal lima inisiatif di bawah Pelan Liberalisasi Visa
MDAC sebahagian daripada lima inisiatif utama bagi penambahbaikan kemudahan perkhidmatan Jabatan Imigresen, selaras pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa (PLV) yang mengecualikan visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India.
Jabatan Imigresen dilaporkan berkata, peraturan baharu yang berkuat kuasa Jumaat lalu itu dikecualikan kepada pelawat yang transit melalui Singapura, berstatus penduduk tetap dan pemegang kad Sistem Pelepasan Automatik Malaysia (MACS).