Semasa

Pentadbiran Anwar akan terus perjuangkan aspek tatakelola yang baik

Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan tidak akan membenarkan rasuah berlaku dalam kalangan pimpinan kerajaan.

Bercakap dalam Wawancara Khas Setahun bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri, yang disiarkan di TV3 malam tadi, beliau menegaskan gejala rasuah sebelum ini sudah menjadi sistem sehingga pemimpin yang korup dipertahankan akibat terlalu taksub.

“Umpamanya kalau ada kuasa, beri tanah kepada isteri dan kontrak berbillion ringgit kepada menantu, itu dimaafkan tidak jadi isu (tiada tindakan). Saya anggap itu aneh sebab tidak diasuh sebegitu.

“Wang berbilion ringgit sepatutnya dipindahkan (diperuntukkan) kepada rakyat,” katanya yang menegaskan tidak mungkin sesuatu negara mampu berkembang jika kemasukan wang secara haram dan tindakan memberi kekayaan kepada keluarga dan kroni diteruskan.

Mengulas lanjut Anwar berkata, beliau tidak akan bertolak ansur dalam soal rasuah dengan akan tetap terus memperjuangkan aspek tatakelola yang baik.

BACA LAGI: Bekas Setiausaha Politik Sanusi didakwa kes rasuah RM400,000 terkait unsur nadir bumi

Dalam setahun, katanya, pentadbiran Kerajaan Perpaduan mencatat rekod tersendiri apabila tiada pemimpin yang dikesan mengaut kekayaan secara haram.

“Saya mengambil alih kuasa dengan satu mandat dan saya tidak akan bertolak ansur (terhadap rasuah) saya bersyukur setahun ini belum ada satu sanggahan (kes) terhadap mana-mana pemimpin yang mengaut kekayaan secara haram.

“Ini satu rekod yang tidak boleh dimungkiri kenyataannya,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button