Semasa

PM Anwar hadir beri penghormatan terakhir buat ‘sahabat lama’ Dr Chua Jui Meng

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri pada Selasa hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang mantan Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Jui Meng yang meninggal dunia pada Ahad.

Ditemui pemberita di di Gereja Full Gospel Assembly Kuala Lumpur, Anwar menyifatkan Chua sebagai menteri kesihatan yang “sangat efektif” serta “juara reformasi dan demokrasi” di Malaysia.

Tambah Anwar, jasa Chua akan dikenang bukan sahaja sebagai antara Menteri Kesihatan yang sangat berkesan tetapi juga seorang pejuang reformis kental yang sentiasa bersama KEADILAN ketika zaman sukar parti itu.

“Chua ialah kawan yang saya kenali selama empat dekad sejak kami berada dalam Barisan Nasional (BN).

“Ketika beliau menyertai kami (KEADILAN), ia tempoh sangat sukar, bergelora dan beliau menunjukkan dedikasinya sebagai individu sangat gigih.

“(Beliau) gigih berjuang untuk reformasi dan kami menjadi rakan sekerja serta kawan sangat rapat sehingga beliau bersara daripada politik.” ” katanya pada upacara memperingati Chua.

BACA LAGI: Chua Jui Meng banyak tabur bakti

Chua yang meninggal dunia Ahad lalu pada usia 80 tahun ialah bekas Pengerusi KEADILAN negeri Johor dan ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN.

Beliau merupakan menteri kesihatan paling lama berkhidmat dalam negara, dari 1995 hingga 2004.

Upacara memperingati Chua selama dua hari diadakan di Full Gospel Assembly di sini dan orang ramai boleh memberi penghormatan dari 3 petang hingga 7 malam.

Chua akan dikebumikan di Taman Memorial Nirvana, Shah Alam, kira-kira 10 pagi Khamis ini.

Related Articles

Back to top button