Semasa

Tun Zaki dilantik pengerusi Jawatankuasa Khas Syariah

Kerajaan Persekutuan menjunjung titah Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, supaya satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi membuat kajian mendalam dan kritikal mengenai persoalan undang-undang berbangkit.

Sehubungan itu, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam.

“Jawatankuasa Khas ini bertanggungjawab untuk mengkaji isu-isu yang melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri khususnya berkaitan dengan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah syariah sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar .

Mohd Na’im berkata begitu pada majlis penyerahan watikah pelantikan Ahli Jawatankuasa Khas itu pada Selasa.

Beliau sementara itu turut memaklumkan, anggota yang dilantik ke Jawatankuasa Khas itu mempunyai kredibiliti serta kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang perundangan dan diyakini mampu mencari jalan penyelesaian terbaik dan harmoni bagi menyelesaikan isu konflik bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah daripada berterusan.

Jawatankuasa khas itu juga akan mengadakan libat urus dengan majlis agama Islam negeri-negeri bagi mendapatkan pandangan mereka dan syor-syor yang dibuat akan dikemukakan ke MKI dan seterusnya mendapatkan perkenan Majlis Raja-Raja.

“Jawatankuasa khas ini akan melihat dan memperhalusi semua perkara melibatkan pertindihan antara mahkamah syariah dan sivil termasuk isu melibatkan pertukaran agama, harta, tuntutan hadhanah, wasiat dan sebagainya.

“Ini merupakan satu daripada usaha dan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan isu konflik bidang kuasa antara Persekutuan dengan negeri dan antara mahkamah sivil dengan mahkamah syariah demi memartabatkan dan memperkasa perundangan syariah dan sistem kehakiman syariah di negara ini,” katanya.

Selain Tun Zaki, jawatankuasa khas itu turut dianggotai 10 individu lain antaranya bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohd Zawawi Salleh; Anggota Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka, Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman.

BACA LAGI: Pakar sambut baik penubuhan Jawatankuasa Khas Syariah

Jawatankuasa itu ditubuhkan susulan beberapa isu berbangkit sebelum ini antaranya membabitkan kes Nik Elin Zurina yang memohon mahkamah mengisytiharkan DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam saja.

Related Articles

Back to top button