Global

KKM kutuk Israel susulan arahan agar WHO kosongkan gudang perubatan di Gaza

Kementerian Kesihatan mengeluarkan kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel yang mengarahkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) untuk mengalih bekalan kesihatan dalam tempoh 24 jam dari gudang perubatan di selatan Gaza.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa menegaskan, masyarakat dunia wajar tampil menyelar tindakan tidak berkeperimanusiaan itu.

“Keputusan Israel untuk melakukan perkara tersebut bukan sahaja menyekat hak kesihatan dan hak kehidupan rakyat Palestin, malah akan merumitkan keadaan untuk mencapai penyelesaian terhadap keamanan di Palestin.

“Kegagalan suara mahupun tindakan daripada komuniti antarabangsa jelas menunjukkan ketidaksamaan dalam layanan terhadap warga Palestin.

“Saya menyeru semua pihak untuk menegakkan keadilan terhadap Palestin demi keamanan dunia,” katanya Dr Zaliha melalui satu kenyataan.

Terdahulu, Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus di platform X pada Isnin berkata: ” WHO menerima pemberitahuan daripada Pasukan Pertahanan Israel bahawa kami harus mengeluarkan bekalan kami dari gudang perubatan kami di selatan Gaza dalam masa 24 jam, kerana operasi darat akan menyebabkannya tidak lagi boleh digunakan.”

Sejak peperangan meletus pada 7 Oktober lalu, rejim Israel menyasarkan orang awam dan kemudahan kesihatan di Gaza.

Bilangan hospital yang beroperasi di Gaza sudah berkurangan daripada 36 kepada 18 dalam masa kurang 60 hari, menurut WHO, dengan tiga hanya menyediakan pertolongan cemas asas dan yang lain menawarkan perkhidmatan separa.

Ketua Pasukan Penilaian Biro Statistik Pusat Palestin, Hossam Khalifa menerusi wawancara pada Ahad mengesahkan situasi perkhidmatan kesihatan di wilayah itu semakin meruncing.

Pada 17 November lalu, rejim Israel melakukan serangan udara terhadap Hospital Al-Ahli al Arabi di Gaza yang menyebabkan kira-kira 500 orang awam dan pegawai kesihatan terkorban.

Related Articles

Back to top button