Semasa

Mindef bakal tayang filem Malbatt: Misi Bakara di Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI

Kementerian Pertahanan (Mindef) bakal menayangkan filem bertajuk Malbatt: Misi Bakara kepada pengunjung Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang akan diadakan di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 hingga 10 Dis ini.

Melalui satu kenyataan, Mindef memaklumkan sempena program itu, pihaknya turut akan mempamerkan aset ketenteraan dan persembahan tempur tanpa senjata serta persembahan kawad senyap.

Kementerian juga menyediakan pameran peluang kerjaya dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada acara itu.

“Filem Misi Bakara akan ditayangkan pada 9 pagi Sabtu di Pentas Utama.

“Manakala pameran aset ketenteraan, persembahan tempur tanpa senjata oleh Tentera Darat dan kawad senyap oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan berlangsung di tapak parkir B sepanjang tiga hari program berkenaan pada pukul 11 pagi dan 3 petang,” menurut kenyataan itu.

BACA LAGI:Tawaran diskaun saman trafik, perkhidmatan LRT

Bukan sekadar itu, orang ramai juga boleh mengunjungi kaunter perkhidmatan dan bantuan veteran ATM serta pameran kerjaya ATM di reruai Mindef untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang berlangsung selama tiga hari di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menyediakan pelbagai program seperti Jualan Mega MADANI serta Jualan Rahmah, dan ia disasar mampu menarik kehadiran sehingga 200,000 pengunjung.

Sebelum ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) turut menawarkan pengurangan kompaun saman trafik sehingga 50 peratus.

Tawaran itu akan bermula 8 hingga 10 Dis ini dan hanya boleh dibuat di kuanter semakan dan pembayaran trafik di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Related Articles

Back to top button