Pahang salur RM74 juta atasi masalah air
Kerajaan negeri Pahang telah menyalurkan hampir RM74 juta bagi mengatasi masalah bekalan air di seluruh negeri itu pada tahun ini.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia membabitkan pelaksanaan sebanyak 17 projek bekalan air antaranya di Lipis, Bentong, Temerloh, Raub dan Kuantan.
“Berdasarkan rekod, Fasa 1 bagi tempoh 2021 hingga 2026 Projek Pembangunan Bekalan Air Negeri Pahang melibatkan 217 projek yang disenarai.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 93 projek telah siap, 37 projek dalam pembinaan dan 87 projek dalam fasa pembinaan,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian sebagai menjawab soalan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada Rabu.
BACA LAGI: Pahang perketat urusan tanah rizab Melayu
Sementara itu tambahnya, kerajaan negeri pimpinannya mensasarkan perkembangan sehingga 90 peratus daripada keseluruhan projek tersebut selesai menjelang 2026.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai projek pembinaan tangki sedutan dan rumah pam di Taman Batu Hitam, Wan Rosdy berkata, ia masih di peringkat lantikan perunding yang akan dilaksanakan oleh pihak Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Jelasnya, projek yang dijangka bermula pertengahan tahun 2024 itu bakal siap pada akhir tahun 2025 dan melibatkan kos sebanyak RM17.8 juta.
Pelaksanaannya projek itu menurutnya akan memberi manfaat kepada 3,900 akaun pengguna di kawasan Kampung Darat Sekolah, Kampung Jeram, Kampung Bukit Gelugor dan Taman Batu Hitam.