Negeri

Sultan Selangor berkenan lancar buku panduan pengurusan kewangan, perolehan dan aset masjid serta surau

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor hari ini berkenan melancarkan Buku Garis Panduan Pengurusan Kewangan, Perolehan dan Aset Masjid dan Surau Negeri Selangor 2023.

Pelancaran buku terbitan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu disempurnakan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Istana Alam Shah yang turut disertai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Baginda bertitah buku panduan itu bersesuaian keperluan semasa selain disusun dengan beberapa penambahbaikan bagi meningkatkan tahap tatakelola dan kecekapan tadbir urus.

“Beta berharap agar buku garis panduan ini menjadi rujukan penting untuk meningkatkan kualiti pengurusan kewangan bagi mengangkat integriti dan kemuliaan masjid dan surau sebagai institusi masyarakat yang dihormati melalui amalan tatakelola yang kemas dan teratur,” titah Baginda dalam kenyataan.

Sultan Sharafuddin juga meminta Jais dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) melaksanakan program latihan intensif secara berterusan dengan menerapkan kaedah latihan bersesuaian latar belakang pentadbir.

“Beta berharap pentadbir masjid dan surau dapat mematuhi dan melaksanakan semua ketetapan yang telah digariskan di dalam garis panduan ini.

“Pentadbir masjid dan surau yang tidak mengambil berat terhadap pengurusan kewangan, perolehan dan pengurusan aset akan menyebabkan masyarakat kurang yakin tentang kredibiliti dan integriti pentadbiran mereka,” titah Baginda.

Penerbitan buku setebal 233 muka surat hasil kerjasama Bahagian Pengurusan Masjid Jais serta Bahagian Audit Dalam dan Integriti Mais selaras titah Baginda.

Buku itu disusun untuk menggantikan Buku Garis Panduan Pengurusan Kewangan Masjid Dan Surau Negeri Selangor 2016 yang perlu ditambah baik dan dikemaskini supaya lebih komprehensif.

Selain itu, penambahbaikan dibuat supaya mencakupi semua keperluan teras pengurusan kewangan termasuk panduan melibatkan kawalan terimaan, perbelanjaan, pengurusan perolehan dan aset.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button