Semasa

COVID-19 : situasi semasa terkawal, tiada varian baharu dikesan- Dr Zaliha

Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui berlaku peningkatan kes berkaitan COVID-19 di negara ini, namun ia masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada.

“Kebanyakan kes di Malaysia menunjukkan gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital,” kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan mengenai situasi COVID-19.

Beliau menjelaskan, peningkatan kes di Malaysia seiring trend berlaku pada setiap hujung tahun seperti juga dilaporkan di negara lain. Tiada varian baharu dikesan di Malaysia.

“Varian masih menular di Malaysia adalah varian Omicron dengan subvarian diketahui mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi, tetapi tidak menyebabkan kes yang teruk.

“Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Ahad lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata sebanyak 3,626 kes COVID-19 dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-47 (ME 47/2023) iaitu dari 19 hingga 25 November lalu, meningkat 57.3 peratus berbanding 2,305 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata, majoriti kes iaitu 48 peratus melibatkan mereka yang berusia antara 20 dan 40 tahun, dengan lebih 98 peratus hanya bergejala ringan.

Sementara itu Dr Zaliha dalam kenyataan sama turut menasihatkan orang ramai mengamalkan langkah penjagaan kendiri antaranya mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dan memakai pelitup muka bagi yang bergejala.

Beliau turut menyarankan individu yang mengalami gejala teruk mendapat rawatan di Klinik Kesihatan terdekat.

“Mereka juga diminta untuk tidak menyebarkan berita yang tidak benar bagi mengelakkan kekeliruan dan menimbulkan keresahan awam,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button