Kerajaan Madani beri keutamaan kekal bangunan bersejarah
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan agar projek raksasa yang dilaksanakan di ibu negara atau bandar di semua negeri tidak seharusnya menjejaskan nilai sejarahnya.
Bercakap ketika merasmikan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2023 di Buhavan Square, di Penampang pada Khamis beliau berkata, pelan pembangunan perlu dirangka dengan baik untuk keselesaan hidup rakyat.
Justeru jelasnya, kerajaan pimpinannya memberi keutamaan kepada pengekalan bangunan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur bagi menjadikan ibu negara sebagai kota warisan.
Mengulas lanjut, beliau turut sekali lagi menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk memberi penekanan kepada pembangunan gerai dan warung yang bersih serta indah berbanding hanya melaksanakan projek pembangunan besar.
Langkah itu jelasnya sejajar dengan populariti warung dan gerai sebagai lokasi utama yang menjadi tumpuan orang ramai berbanding restoran atau hotel yang ada di sesuatu kawasan.
“Penekanan untuk membangunkan kota perlu bermula dari gerai dan warung terlebih dulu. Pastikan gerai dan warung diurus dengan baik, barulah fikir hal besar yang lain,” katanya.
BACA LAGI: MB gesa PBT Selangor naik taraf kemudahan asas mulai tahun depan
Turut hadir pada karnival itu adalah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.
Sementara itu, Perdana Menteri dalam ucapannya memaklumkan, kerajaan bersetuju supaya peruntukan RM20 juta melalui Belanjawan 2024 diberikan untuk membantu golongan peniaga kecil.
Peruntukan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu bagi penaiktarafan kemudahan gerai.