Nasional

Kerajaan Perpaduan bakal pacu semula peranan Labuan dalam sektor ekonomi negara

Kerajaan akan menganjurkan satu persidangan bagi mengangkat semula peranan Labuan dalam memacu ekonomi negara dengan lebih berkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata persidangan itu bakal membabitkan di antara Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia dan bakal diadakan selewat-lewatnya akhir Januari atau Februari tahun hadapan.

“Soalnya, tahun-tahun kebelakangan ini tidak ada inisiatif baru di Labuan, jadi seolah-olah agak tersisih dari arus pertumbuhan dan perkembangan negara.

“Ada beberapa cadangan, insya-Allah kita boleh kemukakan cadangan. Jambatan (Jambatan Labuan) ini memang cadangan lama kita namun kena tahu, kos (pembinaan jambatan) dalam kajian terbaru melebihi RM6 bilion.

“Tentu kita boleh merancang dan lihat keupayaan tetapi peralihan jumlah penduduk itu tidak memungkinkan (jambatan dibina) jadi tentu ia mengambil masa kita dalam rancangan pembangunan Labuan ini.

“Kita mengambil langkah menyegerakan hal-hal yang harus disegerakan. Bagi saya apa yang paling utama adalah bekalan air di Labuan,” katanya.

Beliau berkata begitu dalam ucapan pada Majlis Ramah Mesra YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim di Labuan pada Khamis yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

BACA LAGI:Kerjasama ekonomi Malaysia-Indonesia terus berkembang

Mengulas lanjut, beliau turut berkata bermula Januari tahun hadapan, semua kementerian, jabatan dan menteri diarahkan untuk memainkan peranan membangunkan semula Labuan.

“Saya beritahu bermula Januari tahun depan, semua kementerian, jabatan persekutuan dan menteri akan bergilir datang ke Labuan.

“Setiap kementerian mesti ada projek dan peranan untuk membangunkan semula Labuan sebagai pusat negara,” katanya.

Related Articles

Back to top button