Negeri

Kerajaan Perpaduan pandang serius kelewatan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pentadbirannya memandang serius kelewatan pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah yang terkebelakang berbanding Sarawak.

Justeru jelasnya, satu proses pelantikan kontraktor baharu melalui tender secara telus akan dibuat (dengan keputusan bersama kerajaan Negeri Sabah) bagi melantik kontraktor yang berupaya bagi mempercepatkan pelaksanaan projek tersebut.

“Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak sudah hampir selesai, Sabah lambat lagi, jumlah peruntukan sama dan tarikh pelaksanaan sama.

“Kalau ada kontraktor yang mampu dan berupaya termasuk dari Sabah, silakan ikut tender, bukan kerana dia itu menyokong kita, kroni kita ataupun anak kita, kalau ini dapat dilakukan, saya percaya progres projek ini akan berjalan lebih baik dan memberi faedah kepada rakyat Sabah, ” katanya dalam ucapan Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan Labuan pada Khamis.

BACA LAGI: PM Anwar arah projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah disegerakan

Secara keseluruhan, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dianggarkan sejauh 706 kilometer mengandungi sebanyak 35 pakej kerja dalam Fasa Satu, dengan 16 daripadanya iaitu Fasa 1a sudah dimulakan, manakala baki 19 pakej dalam Fasa 1b belum bermula.

Berbeza dengan Sarawak, keseluruhan projek Lebuhraya Pan Borneo di negeri jiran itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan.

Related Articles

Back to top button