Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di Bukit Jalil selama tiga hari
Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang menyediakan pelbagai program menarik berlangsung di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil selama tiga hari bermula hari ini.
Tumpuan pastinya terhadap kaunter pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) hingga 50 peratus, kaunter pendaftaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kaunter pendaftaran Program Cuti-Cuti Cikgu serta saringan kanser payudara dan kanser serviks yang diberikan secara percuma, selain kempen antigangguan seksual.
Tidak ketinggalan, pengunjung juga berpeluang membeli pelbagai barangan keperluan menerusi Jualan Mega MADANI yang membabitkan 226 operator jualan terdiri daripada usahawan, pasar raya besar dan agensi yang menawarkan potongan harga 30 peratus.
Bersempena dengan program itu juga, petang ini bakal berlangsung pelancaran MYNEXT Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pertukaran dokumen Memorandum Transformasi TVET yang dijangka dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI diadakan untuk menyebar luas dan mempromosikan dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat oleh Kerajaan Perpaduan sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 24 November tahun lalu.
Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju kerajaan bagi membina kepercayaan serta keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.
Orang ramai yang ingin datang hari ini dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas memandangkan perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini, selain Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki (JWC) 2023 yang sedang berlangsung sejak 5 Disember.
Baca lagi: