GlobalParlimen

Kaukus Palestin Parlimen Malaysia desak AS, EU dan British henti bantu tentera Rejim Israel

Kaukus Palestin Parlimen Malaysia pada Jumaat menyerahkan nota bantahan serta tuntutan kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Britain di ibu negara berhubung konflik di Gaza.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, nota yang diserahkan itu bagi mendesak bantuan ketenteraan secara langsung dan tidak langsung kepada pihak Israel oleh pihak itu dihentikan.

Mereka turut menuntut ketiga-tiga pihak itu menyokong gencatan senjata di Gaza dengan kadar segera serta berkekalan.

“Kami mendesak kerajaan AS bertindak dengan tanggungjawab dan adil dalam menangani konflik berterusan antara Israel dan Palestin, khususnya menuntut pertanggungjawaban pihak Israel terhadap jenayah mereka dan tidak berpaling daripada kekejaman yang berterusan ini.

“Kerajaan AS juga digesa untuk menyokong gencatan senjata yang berkekalan dan segera, akses bantuan kemanusiaan tanpa sekatan, pembebasan tawanan termasuk kira-kira 1,000 kanak-kanak yang kini ditahan dalam penjara Israel tanpa perlindungan undang-undang dan menamatkan semua jenayah pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya.

BACA LAGI: Kaukus Parlimen gesa negara Arab henti runding perjanjian normalisasi dengan Israel

Syed Ibrahim ditemui selepas menyerahkan nota itu bersama bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Nota itu ditandatangani oleh 38 Ahli Parlimen, 30 NGO dan aktivis politik serta akan diteruskan oleh Ahli Parlimen lain yang tidak berkesempatan untuk hadir.

“Saya juga telah timbulkan berkenaan adanya penjualan senjata, memberi nasihat ketenteraan, sokongan logistik dan military surveillance flights di atas (ruang) angkasa Israel dan juga Gaza.

“Ini disebutkan sebagai tindakan atau bantuan daripada pihak Britain untuk membantu memberi risikan kepada Israel,” katanya.

Difahamkan, nota tersebut diserahkan kepada pegawai Kedutaan AS Kaunselor Politik Amerika Syarikat Christopher Carver, Kaunselor Politik (Dalaman) Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia Tom Shepherd dan Duta Besar Delegasi EU ke Malaysia Michalis Rokas.

Related Articles

Back to top button