Anwar

Kerajaan Perpaduan pertimbang anjur Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di peringkat negeri – PM Anwar

Kerajaan Perpaduan mempertimbang untuk menganjurkan pameran seperti rogram Setahun Bersama Kerajaan Madani di peringkat negeri berikutan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet pada minggu depan.

“Saya saksikan minat rakyat bertambah baik dan kalau dalam keadaan begini kita (kerajaan) mungkin menimbang dalam mesyuarat jemaah menteri minggu depan untuk memindahkan kegiatan pameran seperti ini.

“Ini bagi memberi pencerahan kepada rakyat di setiap negeri di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.

Mengenai lawatannya itu, Anwar berkata program berkenaan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan malah kerjasama antara semua jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta adalah amat memuaskan.

Anwar juga meminta pengunjung terutama golongan muda supaya meneliti setiap langkah, kemudahan dan perkhidmatan yang dilaksanakan semua kementerian di program tersebut.

Program Setahun Bersama Kerajaan Madani diadakan selama tiga hari bermula semalam dengan acara kemuncak ialah perasmian penutupan yang dijadual disempurnakan oleh Anwar esok.

Program itu bertujuan untuk menyebar luas dan mempromosikan dasar serta inisiatif baharu setiap kementerian kepada rakyat di samping meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju kerajaan bagi membina kepercayaan serta keyakinan antara kerajaan dengan rakyat, melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala. – Bernama

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button