Global

Nvidia Corporation sedia bantu Malaysia bangunkan ekosistem AI

Syarikat teknologi multinasional Nvidia Corporation, melihat Malaysia sebagai negara mempunyai sumber dan kemampuan untuk menyediakan keperluan serta syarat menjadi hab kecerdasan buatan (AI).

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim melalui catatan di laman Facebooknya pada Jumaat berkata, Nvidia menyatakan kesediaan untuk menyokong hasrat Malaysia menjadi 20 negara teratas terkait AI.

Justeru syarikat perintis dalam pengkomputeran dipercepatkan itu bersetuju membantu membangunkan ekosistem AI di Malaysia menerusi sokongan dalam pembinaan pusat kecemerlangan bagi memudahkan pembelajaran dan penyelidikan AI, selain pewujudan sistem awan AI Malaysia sendiri.

“NVIDIA akan mengadakan perkongsian strategik dengan konglomerat Malaysia, YTL yang membina pusat data AI melibatkan pelaburan berjumlah RM20 bilion. YTL telah memulakan pelaburan dalam superkomputer berkuasa H100 terbaru bagi membina sistem Awan AI berpengkalan di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Anwar bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang dan Pengarah Urusan YTL Power, Yeoh Seok Hong di pejabatnya di Putrajaya pada Jumaat.

BACA LAGI: Kerajaan raih pelaburan hampir RM350 bilion, berjaya turunkan tekanan inflasiĀ 

Dalam pertemuan itu, mereka membincangkan potensi Malaysia menjadi 20 negara teratas terkait Kecerdasan Buatan (AI).

“Saya tekankan bahawa Malaysia memerlukan infrastruktur AI bertaraf dunia bagi memupuk bakat tempatan dan membangunkan inovasi yang diterajui AI.

“Jensen menyatakan kesediaan menyokong hasrat ini dan memaklumkan NVIDIA bersetuju membantu membangunkan ekosistem AI di Malaysia menerusi sokongan dalam pembinaan pusat kecemerlangan bagi memudahkan pembelajaran dan penyelidikan AI, selain pewujudan sistem Awan AI Malaysia sendiri,” tambah perdana menteri.

Sementara itu Anwar berkata, keputusan Nvidia melabur di Malaysia adalah isyarat jelas bahawa pelabur asing, khasnya syarikat gergasi teknologi dunia terus menjadikan Malaysia destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini.

Related Articles

Back to top button