Anwar

PM Anwar kecam Amerika Syarikat tolak gencatan senjata

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menolak cadangan dikemukakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) susulan gencatan senjata kemanusiaan perlu diadakan segera antara Israel dan Palestin.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya mengutuk sekeras-kerasnya keputusan yang dibuat oleh AS untuk menentang gencatan senjata di Palestin di peringkat UNSC.

“Walaupun semua hujah lain, kita telah mencadangkan bahawa kita mesti menghentikan pembunuhan orang awam, bayi dan wanita yang tidak bersalah.

“Tiada sebab asas langsung untuk sesiapa menafikan perkara ini (gencatan senjata) dan menggagalkan proses itu,” katanya.

Beliau berkata pada hari kedua Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Semalam, AS dilapor menolak cadangan UNSC supaya gencatan senjata kemanusiaan diadakan segera antara Israel dan Palestin.

Cadangan draf resolusi ringkas itu dikemukakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) disokong 13 ahli lain.

Hanya Britain bertindak berkecuali,manakala Washington diasingkan secara diplomatik kerana melindungi sekutunya.

Undian itu dibuat selepas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, memberi amaran secara rasmi kepada 15 anggota UNSC mengenai ancaman global akibat perang yang berlarutan selama dua bulan itu.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button