Politik

Samakan pimpinan Anwar dengan Israel, Abdul Hadi buat tuduhan melampau – Amanah Kedah

Parti Amanah Negara (Amanah) negeri Kedah membidas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang susulan kenyataan terbaharunya yang dianggap melampau dan fitnah.

Pengerusinya, Datuk Dr Ismail Salleh merujuk artikel ‘Cara orang munafik menentang Islam diikuti Israel dan PH’ ditulis Abdul Hadi yang kemudian disiarkan di lidah rasmi Pas, Harakahdaily pada Rabu menegaskan, ia jelas berbaur hasutan.

Tambahnya, kenyataan Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga merupakan percubaan menyemai kebencian masyarakat beragama Islam terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Kenyataan itu menyamakan Pakatan Harapan (PH) sama seperti orang munafik ketika zaman Nabi Muhammad SAW, ia adalah fitnah.

“Kenyataan Abdul Hadi sangat melampau, pihak berkuasa seharusnya mengambil tindakan segera,” katanya pada Jumaat.

BACA LAGI: Fadhlina tuntut Ahli Parlimen Jasin, Harakah Daily minta maaf kerana didakwa memfitnah

Terdahulu pada Khamis petang, Dr Ismail memfailkan laporan polis terhadap dakwaan Abdul Hadi itu d bu Pejabat Polis daerah (IPD) Kota Setar.

Beliau mahu polis membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan terhadap Abdul Hadi bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan sebarang aktiviti yang mengancam amalan demokrasi berparlimen di Malaysia.

Sementara itu Dr Ismail turut menegaskan, tindak tanduk Abdul Hadi merupakan satu bentuk penderhakaan dan mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Ia menunjukkan sikap derhaka Presiden Pas terhadap keputusan baginda serta Majlis Raja-Raja berhubung pelantikan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan pembentukan Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button