Global

Amerika Syarikat hilang keabsahan juarai hak asasi manusia- ABIM

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengutuk tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan kuasa veto-nya untuk menghalang gencatan senjata segera di Gaza.

Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, tindakan pentadbiran Joe Biden itu telah menyebabkan AS hilang keabsahan untuk menjuarai hak asasi manusia sejagat, kebebasan dan perdamaian dunia.

“Ini merupakan kali kedua AS menghalang usaha damai di Palestin khususnya Gaza apabila dengan sengaja menghalalkan tindakan ganas rejim Zionis untuk membunuh lebih ramai orang awam terutama wanita, kanak-kanak dan orang tua.

“ABIM juga menggesa seluruh dunia menerusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa (UNGA) untuk memulau AS,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

AS pada Jumaat memveto draf resolusi PBB yang diketuai oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dan negara-negara Arab bagi menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera antara Israel dan Palestin.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mencadangkan draf itu berkata, mereka berusaha untuk menyelesaikan resolusi berkenaan dengan cepat disebabkan peningkatan jumlah kematian dalam tempoh 63 hari konflik berlaku.

Setakat ini lebih 17,000 penduduk di Gaza telah terbunuh akibat kekejaman rejim Israel .

46,000 yang lain cedera manakala kira-kira 1.8 juta rakyat Palestin hilang tempat tinggal.

BACA LAGI: PM Anwar kecam Amerika Syarikat tolak gencatan senjata

Pada Sabtu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengeluarkan kenyataan menempelak AS yang menolak draf resolusi untuk menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera antara Israel dan Palestin.

Anwar berkata, Malaysia juga kesal dengan sikap negara itu yang tidak mempedulikan hak kemanusiaan dan mempertahankan pembunuhan serta kezaliman terhadap rakyat Palestin termasuk anak kecil dan wanita.

Related Articles

Back to top button