Bina semula negara dengan adanya asas agama, akhlak dan nilai – PM Anwar
Asas agama, akhlak dan nilai adalah tiga elemen utama yang perlu dipegang setiap ahli politik dan penjawat awam bagi membina semula negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, elemen tersebut perlu diperkukuhkan terlebih dahulu sebelum beralih kepada soal membina pertumbuhan ekonomi, menggerakkan transformasi digital dan program transisi tenaga.
Katanya, jika nilai diabaikan, maka semua usaha membina negara itu akan ketinggalan, justeru ia harus dikembangkan bersama-sama.
“Pertumbuhan ekonomi, tranformasi digital dan transisi tenaga itu semua penting. Kalau tidak kita bicara tentang nilai dan tidak lakukan kerja, maka kita akan ketinggalan.
“Jadi kita harus kembangkan kedua-duanya dan mendasari itu semua adalah sistem nilai. Nilai itu juga harus dimulakan dari peribadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Disember di Putrajaya, hari ini.
Katanya, jika nilai ini dapat diterapkan, maka beliau yakin Kerajaan Madani dapat diangkat dari segi ekonomi dan sosial.
Anwar pada masa sama menasihatkan kumpulan perkhidmatan awam supaya tidak mengamalkan budaya terlalu selesa dengan apa yang sudah dicapai dan berasa sempurna, sebaliknya perlu sentiasa membuka ruang bagi mendengar pandangan serta kritikan membina daripada pihak lain.
Susulan itu, Anwar berkata, setiap daripada mereka termasuk dirinya perlu mempunyai sikap sentiasa berusaha bagi mencapai kecemerlangan di mana merasakan masih ada ruang dan kelemahan untuk diperbaiki.
“Itu andaian bahawa tidak harus ada budaya keselesaan, anggap kita sempurna dan tiada benda untuk diperbetulkan.
“Dalam Islam ada tahap, kalau guna istilah sekarang (umpamanya) ‘strive for excellence’, kalau ada sikap kemanusiaan dan tawaduk bahawa masih ada ruang untuk diperbaiki, harus ada sedemikian termasuk saya.
“(Di mana) mencari ikhtiar baharu untuk selalu tingkatkan dan elakkan kelemahan kekurangan serta mencari jalan. Itu saya usulkan awal supaya budaya politik dan penjawat awam memberi ruang mendengar pandangan serta kritikan membina,” katanya.
Baca juga: