Konsep MADANI tekankan ajaran Islam, namun inklusif untuk semua kaum
Konsep MADANI yang diperkenal oleh Kerajaan Perpaduan inklusif serta meliputi kepentingan pelbagai kaum, agama dan wilayah di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konsep diperkenal pentadbirannya itu tidak bercanggah dengan fahaman mana-mana kaum walaupun ia menekankan kepentingan ajaran Islam.
“Kita harus mengambil sikap terbuka untuk belajar dengan semua pengalaman. MADANI tentunya (menekankan ajaran Islam) kerana majoriti (rakyat di negara ini) adalah orang Islam dan ia adalah agama Persekutuan maka kita perkuatkan tetapi hujah (konsep MADANI) itu universal.
“Kita bawa mesej itu (dalam konsep MADANI) bagi orang Islam adalah (perkukuhkan) aqidahnya, akhlaknya, ibadahnya tetapi mesej kemanusiaan, negara, keadilan (juga ditekankan) untuk rahmat kebaikan dan keselamatan bagi semua,” katanya pada sesi Dialog MADANI sempena Majlis Perasmian Penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.
BACA LAGI: Inisiatif Ekonomi MADANI dapat markah ‘A’ – Kaji selidik UUM
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pengunjung yang ingin memahami konsep MADANI yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan.
Mengulas lanjut, Anwar meminta supaya tiada rakyat mempunyai sebarang prasangka terhadap konsep MADANI kerana ia dirangka demi kebaikan semua dan kemajuan negara.
Dalam konteks kenegaraan jelasnya, kerajuaan perlu menyantuni semua kaum selain mengajak semua rakyat untuk bermuafakat mendirikan dan menjayakan negara ini.
“Sebab itu dalam dasar MADANI, saya sebut (kerajaan secara) telus bantu semua sekolah tanpa mengira kaum dan agama, menoktahkan kemiskinan semua kaum dan agama maka semua harus lihat dari segi positif pelaksanaannya,” tambahnya.