Negeri

Selangor tubuh semula jawatankuasa khas COVID-19 jika berlaku peningkatan kes

Kerajaan Selangor bersedia menubuhkan semula jawatankuasa khas COVID-19 sekiranya berlaku peningkatan kes di negeri itu.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, kerajaan negeri termasuk menerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam Selangor (SELPHAC) sehingga kini sentiasa memantau situasi COVID-19.

Malah pihaknya juga sedang mendapatkan data dan maklumat terkini mengenai pendemik itu daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita menyedari berlaku peningkatan kes di Selangor dan ia melibatkan gandaan jumlah kes dan jika mempunyai keperluan, kita akan tubuh semula jawatankuasa tangani COVID-19 yang ditutup sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Ban Canal 2023 anjuran Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI) di Parit 14, Simpang Lima di Sabak Bernam pada Ahad.

BACA LAGI: COVID-19: KKM kekalkan SOP sedia ada di semua Pusat Pemindahan Sementara

Mengulas lanjut Amirudin berkata, pihaknya sentiasa bersiap siaga bagi berdepan sebarang kemungkinan.

Walaupun situasi COVID-19 di Selangor setakat ini masih terkawal, namun beliau mengingatkan orang ramai terus mematuhi SOP ditetapkan.

“Kita tidak pernah memandang rendah mengenai peningkatan kes yang berlaku dan mengambil kira pengalaman menanganinya sebelum ini.

“Saya menasihatkan individu bergejala dan dijangkiti supaya mengasingkan diri sebagai langkah mencegah penularan pandemik,” jelas beliau.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan baru-baru ini memaklumkan sebanyak 3,626 kes dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-47 iaitu dari 19 hingga 25 November lalu.

Majoriti kes iaitu 48 peratus membabitkan mereka yang berumur antara 20 hingga 40 tahun dan lebih 98 peratus hanya bergejala ringan.

Related Articles

Back to top button