Politik

Setahun mentadbir, PM Anwar lebih baik dari 3 perdana menteri terdahulu – Penganalisis

Penganalisis politik melihat tiada keperluan atau alasan munasabah untuk menukar kerajaan persekutuan ketika ini.

Profesor Madya Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia dipetik laporan Malaysiakini berkata, prestasi kerajaan perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jauh mendahului kerajaan PN terdahulu.

Prestasi itu jelasnya dinilai dari polisi, ekonomi, pelaburan, hubungan antara kaum serta hubungan diplomatik yang ditunjukkan pentadbiran sedia ada.

“Kita lihat bagaimana perdana menteri ke-10 bawa Malaysia ke arena antarabangsa sekarang. Malaysia begitu dikenali, diberi pengiktirafan, banyak pelabur asing tunjuk minat melabur dalam negara, jauh lebih baik berbanding kerajaan sebelum ini.

“Sokongan diterima perdana menteri begitu kukuh. Lebih 150 kerusi (daripada 222 Ahli Parlimen) sekarang sokong perdana menteri, kerajaan sekarang mampu tawar kestabilan dan beri fokus untuk bangunkan negara.” jelasnya.

Beliau berkata begitu mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man pada Sabtu yang dilaporkan berkata, pertukaran kerajaan boleh berlaku apabila parti berkuasa kehilangan majoriti di Dewan Rakyat kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan “pelbagai cara” untuk membentuk kerajaan.

Mazlan bagaimanapun menyifatkan sebarang usaha pertukaran kerajaan melalui kaedah selain pilihan raya sebagai amalan demokrasi tidak baik dan mencermin politik negara tidak stabil.

“Rakyat dah buat keputusan dalam PRU lalu. Masing-masing (parti) dapat sejumlah kerusi dan bergabung menubuhkan kerajaan perpaduan. Maka, kena hormati kerajaan yang dipilih hasil kerjasama antara parti politik.” tambahnya.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar yang dipetik laporan sama pula, Perikatan Nasional (PN) sepatutnya memainkan peranan semak dan imbang dengan lebih berkesan terhadap pentadbiran kerajaan perpaduan, bukannya cuba menubuhkan kerajaan tebuk atap.

Tambahnya, tiada sebarang jaminan yang boleh memastikan secara sahih pembangkang akan lebih baik apabila menjadi kerajaan.

BACA LAGI: Setahun pentadbiran Anwar, usaha benteras rasuah mula tunjuk hasil

Sementara Prof. Madya Dr. Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula menyifatkan prestasi kerajaan perpaduan terus sebagai “mainan pembangkang untuk mengekalkan sokongan dan memberi harapan kepada penyokong”.

“Dalam tempoh berpuluh bulan mereka (mentadbir negara) tidak dapat menunjukkan prestasi sebenar. Dari segi imej kepimpinan, Anwar jauh lebih baik daripada 22 bulan pentadbiran Dr Mahathir Mohamad atau ketika Ismail Sabri Yaakob dan Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.” jelasnya.

Related Articles

Back to top button