Semasa

Sultan Ibrahim tekad lawan rasuah, hentikan ketidakstabilan politik dicetuskan ‘perenggus’

Bakal Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim Iskandar tekad menghentikan amalan rasuah di negara ini.

Baginda yang bakal menggalas tugas sebagai ketua negara pada tahun depan mahu menjadikannya sebagai agenda utama pemerintahannya.

“Ramai menyumbang ratusan juta sebelum pilihan raya. Bagaimana anda membayar mereka kembali, (adakah dengan) memberi mereka projek mega?

“Itu tidak akan berlaku apabila saya menjadi Yang di-Pertuan Agong. Sayang sekali, siapa yang meminta anda memberi (sumbangan politik).

“Daripada moyang saya, kami adalah pemburu yang hebat. Saya akan pastikan apabila saya pergi memburu, saya membawa balik hasil yang bagus.

“Tetapi apabila saya di Kuala Lumpur nanti, ia adalah hutan konkrit, jadi apa yang saya buru? Saya akan memburu semua orang yang korup. Saya akan pastikan saya membawa hasil (buru orang yang korup),” titah baginda dalam temu bual eksklusif bersama The Straits Times Singapura.

Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang yang berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. Baginda menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong selama lima tahun, bermula 31 Januari 2019.

BACA LAGI: Majlis Raja-Raja isytihar Sultan Johor sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17

Dipetik laporan sama, Baginda juga turut mencadangkan penguatkuasaan anti-rasuah lebih tegas antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong dan bukannya kepada Parlimen seperti sekarang.

Langkah itu jelasnya akan mengasingkan suruhanjaya itu daripada pengaruh mana-mana pihak eksekutif.

“Jika (SPRM) datang kepada Agong, bermakna anda tidak berada di bawah pengaruh mana-mana pihak eksekutif. PETRONAS pun tidak sepatutnya berada di bawah Parlimen, lapor terus kepada saya,” titah baginda yang turut mencadangkan supaya pelantikan kehakiman mesti diasingkan daripada badan eksekutif, bagi memastikan badan kehakiman negara benar-benar bebas.

“Hakim dilantik oleh Raja, atas nasihat Perdana Menteri selepas panel pelantikan mengesyorkan calon berkenaan.

“Kami (Raja-Raja) hanya mendapat senarai itu (dari Pejabat Perdana Menteri) semasa Majlis Raja-Raja bersidang. Mengapa anda tidak menyenaraikan nama-nama calon yang layak (kepada kami) sebelum anda melantik? Kami (Raja- Raja) bukan ‘rubber stamp’,” titah baginda.

Selain itu, titah Sultan Ibrahim memastikan tiada perpecahan di negara ini juga akan menjadi antara cabaran terbesar baginda.

Bagi baginda, kerajaan yang stabil haruslah konsisten dengan dasar mampan yang diperlukan untuk memperbaiki ekonomi negara dan punca utama ketidakstabilan politik negara dicetuskan ‘perenggus’ atau golongan tertentu yang kalah dalam pilihan raya.

Related Articles

Back to top button