Jaclyn Victor gesa peminat berhenti berbalah
Juara program All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Jaclyn Victor menggesa peminat berhenti berbalah di media sosial.
Beliau membuat gesaan itu merujuk perbalahan yang timbul antara peminatnya dengan penyokong Liza Hanim terutamanya di platform media sosial X susulan kemenangannya dalam siri realiti tv itu.
Jaclyn, 45, berkata, dirinya dan Liza bersahabat dan kemenangan itu tidak seharusnya mengeruhkan hubungan antara mereka.
Tambahan ASGV merupakan pentas pertandingan dan mereka menghormati kriteria pemarkahan oleh juri profesional.
“Saya harap peminat bawa bertenang. Bukan saya yang berikan markah. Saya sayangkan Liza dan semua mereka (peserta). Tak ada masalah dengan mereka. Tapi, dah ini namanya pertandingan.
“Liza pun dah lakukan yang terbaik pada malam ini. Saya tak tahu apa kriteria pemarkahan daripada pihak juri, tapi, mungkin rezeki saya pada malam ini,” katanya dipetik laporan media.
Terdahulu, segelintir netizen mempertikaikan keputusan juri ASGV yang mengangkat Jaclyn sebagai juara pada konsert akhir malam tadi.
Bagi mereka, peserta pilihan iaitu Liza Hanim atau Hady Mirza yang lebih layak untuk memegang gelaran juara.
BACA LAGI: PM sampaikan sumbangan buat Mak Jah
Liza Hanim bagaimanapun dipetik temubual disiarkan laman Youtube F8Buzz menegaskan walaupun tidak menjuari pertandingan itu, namun merasa puas kerana telah memberikan yang terbaik.
“Rezeki semua itu sudah tertulis, kalau kita hanya memandang pada satu angka sahaja.. akhirnya kita akan kecewa.
“Jadi apabila sudah sampai ke (pentas) akhir, saya hanya mahu’enjoy’ dan berharap orang akan bangga dengan persembahan saya. Itu yang sangat penting dan itu saya mahu lakukan dan saya fikir telah berjaya,” katanya
Di pentas akhir yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu, Jaclyn mempersembahkan tiga lagu menerusi tiga segmen iaitu When You Believe dalam segmen lagu solo, Sandarkan Pada Kenangan (lagu duet bersama Datuk Jamal Abdillah) dan Let’s Kill This Love (pusingan ‘battle’ bersama Siti Nordiana, Liza Hanim dan Tomok).