Nasional

Kabinet Kerajaan Perpaduan dirombak hari ini?

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka akan mengumumkan rombakan Kabinet hari ini..

Ia susulan laporan media pada Isnin yang berkata, satu Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri Persekutuan yang terbabit dengan rombakan itu bakal diadakan di Istana Negara petang ini.

Majlis yang akan berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disenaraikan oleh BERNAMA untuk liputan media rasmi sahaja.

Menurut sumber dari Putrajaya, beberapa Menteri akan ditukar portfolio dan Jabatan Wilayah Persekutuan akan kembali dinaik taraf menjadi Kementerian.

Bagaimanapun, difahamkan rombakan ini tidak akan melibatkan lebih dari enam orang, dengan tumpuan kepada beberapa kementerian termasuk jawatan Menteri Kewangan Kedua.

Rombakan kali pertama dibawah pentadbiran Anwar ini dijangka menyaksikan kemunculan beberapa muka baharu dan lama kembali mengisi kedudukan dalam Kabinet dan senarai Timbalan Menteri.

BACA LAGI: PM Anwar beri bayangan rombakan kabinet sebelum 2024

Ketika dibentuk setahun lalu, Kabinet Perpaduan yang membabitkan 18 parti politik, menyaksikan 28 menteri dan 27 timbalan menteri termasuk pelantikan dua Timbalan Perdana Menteri buat pertama kali dalam sejarah Malaysia.

Sementara itu, sumber sama turut memaklumkan, mungkin sosok teknokrat bakal diserap ke dalam Kabinet Perpaduan Kerajaan Madani.

Bagaimanapun sudah tentu persoalan utama mengenai rombakan Kabinet yang dijangka berlaku itu adalah siapa bakal diberi tanggungjawab menggantikan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Pemangku jawatan itu yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Armizan Mohd Ali melalui satu laporan media semalam berkata, isu rombakan Jemaah Menteri tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu.

Katanya, tiada keperluan untuk Anwar memaklumkan perkara itu kepada Jemaah Menteri kerana perdana menteri mempunyai kuasa prerogatif membuat keputusan mengenainya.

Related Articles

Back to top button