Negeri

Peruntukkan Terengganu meningkat, bukti negeri pembangkang tidak dianaktirikan

Dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan negeri dari blok pembangkang dianaktirikan oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sama sekali tidak benar.

Pengarah Jabatan Pembangunan negeri, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Abdul Kahar Abdul Latif berkata, ia terbukti apabila Kerajaan Persekutuan membelanjakan sebanyak RM1.19 bilion untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Terengganu pada tahun ini.

Tambahnya, Terengganu yang ditadbir parti Pas itu mencatat kedudukan keempat tertinggi mendahului negeri lain terutama dari segi prestasi perbelanjaan dalam Rolling Plan Ketiga (RP3) dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

“Jumlah peruntukan untuk Terengganu terus meningkat.

“Pada RP1 RMK12, sebanyak RM725.96 juta telah diluluskan dengan jumlah projek sebanyak 225. Pada tahun 2022 iaitu RP2 RMK12, sebanyak RM1.37 bilion telah diluluskan bagi 365 projek, manakala RP3 sebanyak RM1.39 bilion pula diluluskan melibatkan 407 buah projek.

“Setakat ini, sebanyak RM1.19 bilion dibelanjakan daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM1.39 bilion dengan peratusan perbelanjaan sebanyak 85.49 peratus ,” katanya ketika berucap pada program Sesi Ramah Mesra JPN bersama Media, di Kuala Terengganu pada Ahad.

Yang turut hadir adalah Pengarah Penerangan negeri, Sait Yaman dan Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Ahmad Syafri Husnaini Mohamad.

BACA LAGI: Penganalisis hairan dengan sikap ‘keras hati’ kepimpinan PN

Sementara itu Abdul Kahar berkata, kerajaan persekutuan melalui pelbagai agensi dan kementerian meluluskan sebanyak RM39.76 juta untuk melaksanakan projek kecil, termasuk penyelenggaraan jalan, longkang, dewan orang ramai, masjid dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta ameniti sosial lain.

Katanya, antara masjid yang dalam pembinaan adalah Pusat Islam Bandar Ketengah Jaya membabitkan peruntukan sebanyak RM11.19 juta, Masjid Kampung Langgar Hulu Terengganu (RM5.3 juta) dan Masjid Kuala Kubang di Jabi, Besut (RM2.87 juta).

“Selain melaksanakan program pembangunan fizikal, JPN turut menyelaras pelaksanaan kesejahteraan rakyat bertujuan menoktahkan kemiskinan di Terengganu.

“Statistik terkini menunjukkan sebanyak 6,506 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar dan 24,740 miskin didaftarkan melalui sistem e-Kasih di seluruh Terengganu,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button