Semasa

Fahmi dan Gobind bakal bincang, kenal pasti peranan kementerian masing-masing

Pengasingan tugas Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital bakal membantu maklumat berkaitan pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan dapat disampaikan secara berkesan kepada rakyat.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, ia juga bukti kesungguhan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan pertumbuhan ekonomi digital di Malaysia terus subur.

Mengulas lanjut mengenai pengasingan tugas itu, Fahmi berkata beliau memerlukan sedikit masa untuk memahami agihan tugasan dan fungsi dua kementerian itu yang dahulunya dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

“Mungkin dalam seminggu dua, kita akan tahu fungsi dan tugas kita, dan mungkin juga ada terkait mengenai agensi-agensi berkaitan kementerian ini, mungkin ada sedikit perubahan, ada agensi masuk atau ada beralih kementerian.

“Namun saya akan pastikan, dalam tempoh seminggu dua ini, sebelum berakhir tahun ini,” katanya pada Selasa.

Sementara itu, Gobind Singh Deo yang dilantik Menteri Digital semalam berkata, beliau akan mengadakan perbincangan bersama Fahmi bagi mengenal pasti peranan masing-masing antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.

Satu sidang media akan diadakan bagi menjelaskan kepada orang ramai mengenai pelan tindakan kementerian serta langkah yang akan diambil untuk perancangan pada masa akan datang.

Menyentuh mengenai kewujudan kementerian baharu itu, beliau menyifatkannya adalah wajar supaya dapat memperkemas persediaan kepada negara pada masa akan datang terutama dalam menghadapi cabaran era digital.

Ini kerana jelasnya, aspek digital mampu mengubah cara masyarakat berfikir atau bekerja, selain membuat sesuatu pilihan untuk bergerak ke hadapan.

Related Articles

Back to top button