Negeri

Kementerian Ekonomi alu-alukan jika ada negeri tawarkan tanah untuk aktiviti pertanian moden

Kementerian Ekonomi mengalu-alukan mana-mana kerajaan negeri yang sedia menawarkan tanah sesuai untuk aktiviti pertanian di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dijalankan.

Menterinya Rafizi Ramli berkata, kementeriannya melihat potensi membangunkan tanah terbiar bagi diusahakan projek pertanian moden untuk membasmi kemiskinan.

“Kerajaan persekutuan memberikan dana, konsep, latihan dan kerajaan negeri memberikan tanah. Beri tanah itu bukan bermaksud bagi tanah kepada kerajaan Persekutuan, tetapi kami (Pusat) pinjam untuk sekurang-kurangnya lima tahun.

“Hak milik tanah dan geran semua masih dimiliki kerajaan negeri, tapi dengan persetujuan untuk lima tahun ini, kita buka yang ini (IPR) dahulu. Daripada terbiar baik kita buka untuk beri manfaat kepada orang ramai

“Kalau perkara ini disambut baik, kita dapat skalakan projek IPR ini di seluruh negara ,” jelasnya.

BACA LAGI: Peserta INTAN fasa 1 mampu jana pulangan sekitar RM2,300 sebulan

Beliau berkata demikian semasa hadir ke pelancaran projek IPR – Inisiatif Usahawan Tani Wilayah Ekonomi Koridor Utara (IPR-INTAN NCER) di Hulu Kinta pada Selasa yang membabitkan peserta daripada golongan B40 untuk bertani secara moden dengan jangkaan pendapatan RM2,000 sebulan.

Projek itu dilaksanakan dalam kawasan Hospital Bahagia Ulu Kinta bawah kerajaan Pusat dengan tanaman cili dan terung, serta telah mempunyai pembeli tersedia

Rafizi sementara itu menyambut baik hasrat kerajaan negeri Perak sedia berbincang menyediakan tanah kepada Pusat bagi maksud pembasmian kemiskinan dan jaminan sekuriti makanan.

“Saya berharap usaha kerajaan negeri Perak disambut oleh kerajaan negeri lain, barulah kita boleh bawa pertanian moden ini ke daerah di seluruh negara,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button