KPM seru semua pihak kerjasama, kukuh sistem pendidikan negara
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah mengenal pasti punca Malaysia mencatatkan kemerosotan dalam purata pencapaian ketiga-tiga domain literasi dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, antara punca kemerosotan itu antaranya berpunca dari penutupan sekolah yang panjang dengan kesan pandemik Covid-19 yang menjejaskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran selain kesenjangan yang berlaku akibat kemiskinan multi dimensi, miskin peranti, miskin ruang dan peluang serta miskin akses internet.
Justeru tegasnya, KPM akan terus memastikan kesenjangan murid dapat diatasi sekali gus memperbaiki pencapaian Malaysia dalam laporan program itu pada masa akan datang.
“Jadi semua masalah itu akan terus kita tangani termasuk dengan peluncuran dasar pendidikan digital yang pastinya konteks yang ingin dipertingkatkan dalam konsep PISA akan datang
“Begitu juga dengan program program pengukuhan literasi dan numerasi yang memang sudah pun menjadi sebahagian gerak kerja kita sepanjang tahun ini,” katanya
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor dengan KPM, di Shah Alam pada Selasa.
BACA LAGI: KPM bakal kembali fokus kepada kemahiran 3M
Terdahulu, hasil kajian PISA yang dilaksanakan setiap tiga tahun kecuali pada 2021 susulan Covid-19 direkodkan purata pencapaian Malaysia dalam Literasi Matematik menurun sebanyak 31 mata pada kali ini, Literasi Saintifik (22) dan Literasi Bacaan (27) berbanding PISA 2018.
Bagaimanapun sebahagian besar daripada 81 negara peserta program anjuran Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD) itu turut merekodkan kemerosotan purata pencapaian bagi tiga domain literasi dalam PISA 2022 susulan pendemik tersebut.
Sementara itu jelas Fadhlina, melalui gerak kerja dan usaha yang dilakukan kementerian itu sejak setahun lalu, mereka telah berjaya menghasilkan beberapa kisah yang berjaya.
Justeru beliau berharap semua pihak akan terus berada dalam jalur gerak kerja yang sama, untuk memperkukuh kualiti pendidikan negara.