Semasa

PM Anwar beri jaminan pencen pesara tidak akan dikurangkan

Perdana Menteri memberi jaminan pentadbirannya akan menokok jumlah pencen pesara penjawat awam bagi memastikan jumlah pencen mereka tidak berkurangan daripada apa yang telah diterima ketika ini.

Jaminan itu diberikan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis makan malam Sumbangan Kasih Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) dan Yayasan Alumni PTD di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, malam tadi.

“Walaupun ada keputusan mahkamah, kerajaan khususnya Perbendaharaan membuat keputusan untuk menokok jumlah yang dianggap kurang itu supaya tidak kurang daripada gaji (pencen) yang sepatutnya (diterima),” katanya.

Pada Julai lepas, kerajaan telah memutuskan supaya pencen dan pencen terbitan bagi bulan Julai 2023 hingga Disember 2023 dibayar menggunakan amaun pencen asal.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun lalu membatalkan pindaan kepada undang-undang pencen menjadikan pindaan kepada Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA) tidak lagi terpakai kepada pesara kerajaan.

BACA LAGI: Kerajaan peruntukkan RM30 juta, mulakan projek rintis Dasar Gaji Progresif mulai Jun depan

Terdahulu, Presiden Alumni PTD Tan Sri Abdul Halim Ali ketika berucap pada majlis itu menyuarakan kebimbangan bahawa pencen pesara akan berkurangan pada tahun depan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan pindaan undang-undang pencen berkenaan.

Sementara perdana menteri menyentuh mengenai kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA berkata kerajaan komited meneliti perkara itu secara mendalam, namun ia memerlukan sedikit masa.

“Dalam penyelarasan gaji ini, tentu isunya akan diteliti dan dikaji dan saya percaya SSPA ini sudah cecah 11 tahun belum ada (kajian semula). Bukan masalahnya saya hendak memenangi atau memujuk penjawat awam, tetapi ini kenyataannya.

“Sepatutnya ia disemak setiap 10 tahun, namun kerana politik itu tidak berkesudahan jadi tidak sempat fikir masalah penjawat awam. Tetapi sekarang wujudnya Jawatankuasa Semakan Semula Sistem Saraan Perkhidmatan Awam, Insya-Allah, ia akan dapat diatasi,” jelasnya.

Perdana Menteri pada majlis malam tadi turut meluluskan peruntukan RM500,000 kepada Alumni PTD bagi meneruskan aktiviti persatuan itu dalam membantu memperkukuh pentadbiran dan perkhidmatan awam.

Related Articles

Back to top button