PM Anwar mahu menteri terus jalankan tugas selesai masalah rakyat
Semua anggota Kabinet termasuk yang baharu dilantik diingatkan bahawa mereka tidak ada tempoh untuk berbulan madu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada mesyuarat pertama Kabinet baharu Jemaah Menteri pada Rabu beliau mengingatkan jemaah menteri terus menjalankan tugas menyelesaikan masalah rakyat.
Tambahnya, anggota Kabinet dan kerajaan dituntut untuk menoktahkan kemiskinan tegar, menguasai bidang-bidang penting, memacu pertumbuhan ekonomi dan menjamin kemakmuran negara.
“Dalam mesyuarat ini saya tekankan tentang bidang tugas baharu setiap kementerian masing-masing. Mesyuarat juga mengutus penghargaan buat mantan Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar atas sumbangan yang telah diberikan.
“Saya turut titip pesan agar tumpuan dan keutamaan kini mesti lebih terarah dan pantas dalam usaha menterjemah cita dan nurani rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.
BACA LAGI: Dr Dzulkefly tekad laksana agenda transformasi kesihatan digital secara menyeluruh
Anwar pada Selasa mengumumkan rombakan kabinet, yang menyaksikan pelantikan lima muka baharu bagi jawatan menteri dan timbalan menteri.
Rombakan itu menyaksikan jumlah Ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31, manakala timbalan menteri bertambah daripada 27 kepada 29, sekali gus jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini adalah 60 orang.
Ia menyaksikan tokoh korporat Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilantik Menteri Kewangan II; Datuk Seri Johari Ghani (Menteri Perladangan dan Komoditi); Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan); Gobind Singh Deo (Menteri Digital) dan Steven Sim (Menteri Sumber Manusia).