Politik

Rombakan kabinet untuk penuhi visi Malaysia Madani capai aspirasi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan kabinet yang dilaksanakan buat kali pertama selepas setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan di Putrajaya, pada Selasa.

Berikutan pelantikan lima menteri dan lima timbalan menteri termasuk empat muka baharu, dilihat sebagai suatu langkah untuk kepentingan negara dan bukannya sebuah propaganda politik.

Menurut Pensyarah Fakulti Komunikasi Pengajian Media UiTM Shah Alam, Ts Nurul Aishah Ab Raman, rombakan kabinet ini adalah hak mutlak yang dimiliki oleh Perdana Menteri dan pastinya bertujuan untuk memenuhi visi Malaysia Madani bagi mencapai aspirasinya.

“Ini bukan soal bagus tak bagus, tapi mereka yang dilantik ini semestinya telah pun bersedia dengan apa jua pertukaran portfolio kerana mereka berkelayakan dan berkhidmat untuk negara.

“Keputusan rombakan kabinet yang diumumkan bukan suatu keputusan yang aneh tapi sudah menjadi hak mutlak Perdana Menteri untuk menentukan siapa yang bakal menerajui sesebuah kementerian”, katanya memetik laporan Malaysia Bangkit pada Rabu.

Tambah beliau lagi, rombakan kabinet dan penyusunan semula kementerian dibuat adalah untuk melancarkan pengurusan kerajaan agar lebih efisien dan teratur.

Biarpun terdapat desas-desus yang mengatakan rombakan ini mempunyai agenda tersembunyi, namun beliau menegaskan tindakan Anwar bertujuan untuk pembangunan negara.

“Kita tak boleh mengekang orang ramai untuk memberi pandangan, namun apa jua keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim lakukan pastinya bertujuan untuk kebaikan negara,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Padang Terap, Muhammad Syahmi Noordin turut senada menyatakan persetujuan dengan keputusan penyusunan semula kementerian.

Katanya, dengan kemasukan muka baharu yang berpengalaman di dalam kabinet kali ini, dilihat mampu memberi nilai tambah kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan.

“Kalau kita lihat senarai nama lantikan menteri baharu, bukanlah figura yang biasa, tetapi mempunyai latar belakang yang cukup hebat berdasarkan pengalaman”, ujarnya.

Tambahnya lagi, penukaran portfolio adalah untuk memantapkan lagi kelancaran kerja di setiap kementerian berdasarkan kemahiran masing-masing.

Rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan menyaksikan jumlah Ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31, manakala Timbalan Menteri meningkat daripada 27 kepada 29 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini seramai 60 orang.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button