Parlimen

KKM akan mempergiat advokasi pencegahan merokok – Menteri Kesihatan

Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksana pelan advokasi lima tahun sebagai pendekatan alternatif kepada peruntukan generasi penamat rokok (GEG).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pelan advokasi melalui saringan serta intervensi itu merupakan usaha bagi memastikan masalah merokok dalam kalangan remaja dan generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya dibendung.

“Sungguhpun peruntukan GEG digugurkan, kementerian akan melancarkan pelan advokasi yang menyasarkan saringan serta intervensi bagi golongan ini dan memastikan mereka terus tidak merokok.

“Program ini akan diteruskan di peringkat universiti serta di peringkat awam termasuk tempat kerja,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata begitu pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di Dewan Negara pada Khamis.

Kerajaan baru-baru ini menggugurkan peruntukan generasi penamat rokok (GEG) daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Keputusan itu dibuat secara kolektif atau kebertanggungjawaban bersama oleh kerajaan setelah merujuk kepada pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC), terdapat isu ketidaksamarataan dan diskriminasi kedudukan undang-undang dalam peruntukan-peruntukan GEG dengan memberi layanan berbeza terhadap seorang yang lahir sebelum 1 Januari 2007 berbanding layanan terhadap orang yang lahir selepas 1 Januari 2007.

BACA LAGI: RUU Majlis Media Malaysia sentuh hasil iklan organisasi media digubal tahun hadapan

Sementara itu menurut Dr Dzulkefly, walaupun peruntukan GEG tidak dimasukkan dalam RUU ini, ia tidak bermaksud kementerian memandang ringan masalah merokok di negara kita, sebaliknya terus mempergiat aktiviti-aktiviti advokasi pencegahan merokok.

“Insya-Allah, pada waktu yang lebih wajar dan sesuai, kita akan kembali menziarahi isu ini.

“Pemantauan dan penilaian bagi RUU ini tetap dijalankan secara berterusan dan diperkukuh.

“Kementerian juga akan memastikan penguatkuasaan berkaitan kebolehdapatan produk merokok dikawal ketat dengan kerjasama agensi penguatkuasaan yang lain,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button