Nasional

Legasi Salahuddin Ayub diteruskan, Payung Rahmah diperkasa jadi agenda nasional

Inisiatif Payung Rahmah yang diperkenalkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub akan diteruskan sebagai agenda nasional negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, sebagai menteri yang baru dilantik menerajui kementerian ini, beliau tekad untuk meneruskan usaha yang dimulakan Allahyarham Salahuddin.

Tambahnya, inisiatif itu akan diperkasakan, bukan hanya melibatkan kementeriannya, malah merangkumi beberapa kementerian lain.

“Ia (Rahmah) jadi agenda nasional bukan hanya kementerian semata-mata, tetapi ia memayungi kebajikan dan kesejahteraan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau sebelumnya hadir ke perasmian Karnival Barangan Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada Khamis.

Inisiatif Payung Rahmah diperkenal Salahuddin ketika mengetuai KPDN bertujuan untuk membantu rakyat menghadapi pelbagai cabaran berhubung kenaikan kos sara hidup, terutama ketika negara dan ekonomi sedang pulih daripada kesan pandemik Covid-19.

BACA LAGI: Inisiatif Payung Rahmah jadi jenama popular KPDN

Pentadbiran Anwar melalui belanjawan 2024 peruntukan RM200 juta sebagai suntikan untuk meneruskan inisiatif tersebut.

“Pastinya, peruntukan 2024 sudah ada iaitu sebanyak RM200 juta untuk kita meneruskan inisiatif ini. Hari ini, kita berikan kad diskaun Rahmah kepada pengusaha restoran dan kafe yang menyediakan menu Rahmah.

“Sebulan lalu, kita buka permohonan kad menu Rahmah secara atas talian dan hari ini beberapa syarikat menerima kad itu hari ini,” tambah Armizan ketika mengulas mengenai peruntukan tersebut.

Related Articles

Back to top button