Semasa

Pelajar aliran agama disaran manfaat peluang sambung pengajian dalam bidang TVET

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa pelajar aliran agama merebut peluang jurusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) .

Dalam ucapan perasmian Majlis Graduasi Huffaz dan Apresiasi Kecemerlangan Imtiaz Ulul Albab 2023 di sebuah hotel di Ayer Keroh di Melaka pada Khamis, beliau berkata bidang TVET bukan lagi menjadi pilihan kedua untuk menyambung pelajaran bagi memenuhi keperluan industri negara.

“Saya mahukan kita semua melihat bahawa aliran TVET ini merupakan salah satu aliran yang boleh dimanfaatkan oleh para pelajar (aliran agama) di sini.

“Graduan di dalam aliran TVET kini mempunyai potensi yang besar menjadi tenaga mahir negara dalam pelbagai bidang yang mampu menjanjikan pendapatan dan taraf kehidupan yang lebih baik untuk masa hadapan,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara.

Teks ucapan Ahmad Zahid dibacakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Sementara itu Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, Majlis TVET Negara telah berjaya mentransformasi bidang TVET ke arah melahirkan tenaga mahir warga tempatan.

Sekretariat TVET jelasnya telah menyelaraskan program dan kursus di 1,344 institusi TVET seluruh negara selain mewujudkan kolaborasi di antara institusi TVET tempatan dengan lebih 200 pemain industri, terdiri daripada syarikat-syarikat dan konglomerat terkemuka.

BACA LAGI: Pelajar aliran agama bakal diberi laluan khas untuk lanjut pengajian TVET

Sebagai rekod, kerajaan berhasrat menjadikan TVET sebagai solusi serampang dua mata kerajaan dalam melahirkan modal insan tempatan berkemahiran dan seterusnya menjadi pelengkap persiapan memacu kemajuan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pada Oktober lalu mengumumkan peruntukan RM17 juta bagi melaksanakan Program Tahfiz Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, program tersebut akan membuka peluang kepada pelajar tahfiz mempelbagaikan kemahiran di samping meneruskan pengajian hafazan.

Related Articles

Back to top button