Semasa

PM mahu entiti Yayasan Pelaburan Bumiputra laksanakan amanah dengan cekap

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu entiti di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) memastikan mandat yang diamanahkan kerajaan dilaksanakan dengan cekap dan mengikut tatakelola yang terbaik.

Harapan itu dinyatakan beliau ketika mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah YPB di pejabatnya di Putrajaya pada Khamis.

“Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) yang turut dihadiri ahli-ahli yang lain iaitu YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda dan Tan Sri Haji Amrin Buang.

“Saya tekankan supaya entiti di bawah YPB iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) perlu memastikan mandat yang diamanahkan kerajaan dilaksanakan dengan cekap dan mengikut tatakelola yang terbaik.

“Fokus dan koordinasi antara agensi berkaitan pembangunan bumiputera juga perlu diperkukuh,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.

BACA LAGI: Khazanah bakal wujudkan platform baharu bantu syarikat Bumiputra

Sementara itu Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pada Belanjawan 2024, beliau telah mengumumkan bahawa institusi pelaburan Bumiputera termasuk Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) akan dipusatkan di bawah YPB

Sehubungan itu jelasnya, bagi memastikan peralihan ini dapat dilaksanakan dengan segera, beliau turut akan mempengerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB) dan YPB.

Related Articles

Back to top button