Semasa

Simbolik solidariti Malaysia, setem khas ‘Palestin Merdeka’ dilancarkan

Pos Malaysia pada Khamis melancarkan set setem khas “Palestin Merdeka” yang akan berada di pasaran bermula 18 Januari tahun depan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pelancaran setem khas itu melambangkan solidariti dan sokongan penuh rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk mencapai kemerdekaan dan keamanan.

“Kita akan pertimbang sekiranya perlu setelah dilancarkan (setem) ataupun setelah mula ada di pasaran mungkin kita akan berbincang dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengusahakan kempen menghantar surat untuk menggesa supaya gencatan senjata dilakukan,” katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran setem khas berkenaan di Kuala Lumpur.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Pengerusi Pos Malaysia Tan Sri Syed Faisal Albar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Charles Brewer.

Sebagai rekod, Pos Malaysia pernah melancarkan setem berkaitan Palestin pada 1978 dan kali kedua pada 1982.

Setem khas kali ini akan dijual secara dalam talian di www.pos.com.my/shop dan di Pejabat Pos dan Biro Filateli Pos Malaysia pada harga RM1.30 setiap setem.

Setem berkenaan juga boleh dibeli dalam bentuk helaian setem, mengandungi 20 setem setiap helaian, pada harga RM26, Sampul Hari Pertama pula boleh didapati pada harga RM0.50 dan ‘folder’ pada harga RM6.

BACA LAGI: Kaukus Palestin Parlimen Malaysia desak AS, EU dan British henti bantu tentera Rejim Israel

Difahamkan, sebahagian hasil jualan setem khas itu akan disalurkan kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin yang diuruskan Kementerian Luar.

Dana itu akan disalurkan melalui inisiatif Ops Ihsan, kolaborasi antara Kerajaan Malaysia dan 53 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza.

Related Articles

Back to top button