Tiada keperluan pinda perlembagaan, Perdana Menteri masa depan kekal Melayu – PM Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiada keperluan untuk perlembagaan dipinda bagi membolehkan hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi Perdana Menteri.
Anwar berkata, calon Perdana Menteri sama ada dari kerajaan atau pembangkang pada masa hadapan adalah kekal daripada kaum Melayu.
“Setakat ini tiada keperluan (pindaan perlembagaan) permohonan serius untuk perbincangan (berkenaan).
“Sejak merdeka hingga sekarang, calon Perdana Menteri ialah Melayu. Selepas ini calon dari kerajaan pun Melayu, calon pembangkang juga Melayu.
“Jadi (kita) kena maju terus dan hak rakyat, semua warganegara kita harus pelihara. Jaga kepentingan semua rakyat, semua kaum dan semua wilayah,” katanya ditemui selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar Seksyen 4 di Bandar Baru Bangi, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pertanyaan media sama ada kerajaan akan meminda Perlembagaan Persekutuan seperti mana kenyataan Ketua Pemuda Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mencadangkan supaya beliau meminda perlembagaan supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi Perdana Menteri.
Kenyataan itu dikeluarkan Wan Ahmad Fayhsal ekoran satu kenyataan yang dibuat veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang yang didakwa menyentuh kemungkinan orang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri.
Menurut Anwar, perkara tersebut tidak perlu dirumitkan kerana dalam perlembagaan ada peraturan-peraturan tertentu mengenai calon Perdana Menteri.
“Ini bukan isu dan sekarang ini tidak pernah menjadi isu jadi jangan kita rumitkan keadaan,” katanya lagi.
Baca lagi: