Dr Mujahid tuntut Ahmad Dusuki bayar hutang
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof telah mengarahkan peguamnya meneruskan tindakan pelaksanaan ke atas Ahmad Dusuki Abdul Rani.
Ia setelah bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas itu gagal melunaskan kos mahkamah berjumlah RM23,000 yang telah diperintahkannya terhadapnya.
“Peguam saya telah dua kali menghantar surat tuntutan kepada Ustaz Dusuki untuk beliau mematuhi arahan mahkamah dan membayar kos-kos yang telah diperintahkan tersebut, beliau masih lagi ingkar, enggan dan gagal berbuat demikian.
“Malah dalam beberapa posting di Facebooknya, beliau masih lagi mempertikaikan keputusan mahkamah yang menolak saman tersebut walaupun beliau sendiri yang menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan, Putrajaya,” kata Naib Presiden parti Amanah itu dalam kenyataan.
Sebelum itu, Mahkamah Sesyen Shah Alam menolak saman fitnah yang dikemukakan Ahmad Dusuki terhadap Mujahid dengan kos RM11,000.00.
Ahmad Dusuki yang tidak berpuas hati kemudiannya merayu ke Mahkamah Tinggi dan rayuannya turut ditolak tersebut dengan kos RM7,000.
Pada 29 Ogos tahun lalu, Ahmad Duzuki menarik balik rayuan saman fitnah terhadap Mujahid berhubung dengan isu di sebalik penjualan aset Tabung Haji (TH) dan dia diarahkan membayar RM5,000 sebagai kos kepada Mujahid.
BACA LAGI: Serah semula aset, bukti kerajaan martabat Tabung Haji – Mohd Na’im
Sementara itu menurut Mujahid, peguamnya telah memfailkan Saman Penghutang Penghakiman di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menuntut jumlah kos yang masih belum dibayar.
Pihak peguam juga akan terus menggunakan segala ruang undang-undang untuk menyerahkan saman bagi menuntut Ahmad Dasuki patuh kepada arahan mahkamah dan membayar kos-kos yang diperintahkan.
“Suka saya ingatkan bahawa itu adalah satu hutang yang telah diperintahkan oleh mahkamah untuk dibayar oleh beliau.
“Saya telah mengeluarkan perbelanjaan dan kos yang banyak untuk membela diri saya terhadap tuntutan beliau yang akhirnya mahkamah telah memutuskan bahawa tuntutan tersebut sebagai tidak berasas dan tidak bermerit sama sekali.
“Sebagai orang yang arif tentang hukum-hakam syarak khususnya yang berkaitan dengan hutang-piutang seharusnya beliau memberikan contoh yang baik kepada masyarakat dan tidak bersifat angkuh dan tidak peduli seperti ini,” kata beliau.