Semasa

Insiden pencerobohan portal Halal Malaysia berjaya dikawal, tidak sebabkan ketirisan data

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) mengesahkan insiden pencerobohan terhadap portal rasmi Halal Malaysia pada Sabtu lalu tidak menyebabkan sebarang ketirisan data.

Datuk Hakimah Mohd Yusoff dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, portal Halal Malaysia itu kini mula beroperasi kembali pada Rabu lepas (13 Dis) setelah tindakan pembaikan dibuat pasukan ICT Jakim.

Malah beliau turut telah mengarahkan supaya ‘loophole’ yang mungkin ada dikemas kini bagi mengelak insiden serupa berulang.

“Saya telah mengarahkan pasukan teknikal ICT Jakim mengambil langkah proaktif untuk mengemas kini ‘loophole’ yang mungkin boleh menjadi ruang untuk penggodam menceroboh kembali ke dalam portal rasmi Halal Malaysia,” katanya.

BACA LAGI: Sistem keselamatan siber negara diperkukuh – PM Anwar

Media sebelum ini melaporkan portal tersebut digodam sehingga pautan http.halal.gov.my tidak boleh digunakan. Bagaimanapun pencerobohan itu juga dilapor tidak merencatkan proses permohonan pensijilan halal Malaysia atau semakan status sesuatu produk susulan pengguna boleh menggunakan aplikasi Verify Halal dan Smart Halal yang boleh dimuat turun daripada Google Play atau App Store.

Sementara itu menurut Hakimah, Jakim menyedari kerisauan pengguna mengenai ciri-ciri keselamatan sedia ada di portal Halal Malaysia, justeru telah meminta supaya proses untuk menyiapkan infrastruktur baharu iaitu server, operation system dan aplikasi portal dinaik taraf ke versi yang terkini.

“Proses ini sedang dilaksanakan dan saya difahamkan bahawa infrastruktur baru ini akan disiapkan sebelum Januari 2024,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button