Semasa

KPWKM sedia bantu keluarga Zayn Rayyan – Nancy Shukri

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyatakan kesediaan membantu keluarga kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, yang mati dibunuh, 5 Disember lalu.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya bersedia menyediakan kaunselor terutama bagi membantu meredakan tekanan emosi ibu kanak-kanak itu.

Namun ketika ini jelasnya pihaknya belum dapat menghantar kaunselor susulan polis masih giat menjalankan siasatan kes berkenaan kecuali jika menerima permintaan daripada keluarga terbabit.

“Pakar kaunseling memang kami tawarkan, namun buat masa ini mereka masih menunggu siasatan polis.

“Tetapi jika mereka memohon bantuan, kami boleh menghantar kaunselor bila-bila masa,” katanya dalam satu sidang media di Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching pada Jumaat.

Nancy berkata, keluarga kanak-kanak itu boleh membuat permohonan tanpa perlu ke pejabat KPWKM sebaliknya memadai dengan menghubungi Talian Kasih 15999.

Mayat Zayn Rayyan, 6, ditemui di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya, kira-kira 10 malam 6 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada 7 Disember berkata hasil bedah siasat juga mendapati kesan luka pada leher dan tubuh Zayn Rayyan berpunca daripala pergelutan.

Mangsa dipercayai telah dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya ditinggalkan di sebatang sungai tempat dia ditemukan.

Sehubungan itu, pihak polis kini sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan pembunuh kanak-kanak itu.

Related Articles

Back to top button